fb fb fb fb fb

Membimbangkan, perkahwinan bawah umur & kehamilan remaja catat lebih 44,000 kes sejak 2019

FOTO HIASAN

KUCHING, 10 November- Lebih 44,000 kes kehamilan remaja dicatatkan di Malaysia sejak lima tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, data Kementerian Kesihatan itu menunjukkan daripada jumlah tersebut, 17,646 remaja tidak berkahwin semasa hamil.

Katanya, di Sarawak sebanyak 9,258 kes kehamilan remaja direkodkan dengan 5,627 kes daripadanya adalah tidak berkahwin semasa hamil.

"Situasi ini dilihat amat membimbangkan bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja," katanya ketika berucap merasmikan Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, PEKERTI Edisi Ibu Bapa Peringkat Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Forum tersebut merupakan siri kedua dianjurkan selepas di Sibu tahun lepas.

Ia antara lain bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan program PEKERTI kepada ibu bapa, agar dapat membantu dalam proses kemandirian dan sosialisasi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE