fb fb fb fb fb

Melaka wujudkan Kluster Inap Desa baharu di Jasin

Melaka bakal mewujudkan sebuah lagi Kluster Inap Desa di Kampung Chin Chin, Jasin / Foto Hiasan

BANDARAYA MELAKA, 22 Mac – Melaka bakal mewujudkan sebuah lagi Kluster Inap Desa di Kampung Chin Chin, Jasin, bagi menawarkan pengalaman suasana kampung kepada pelancong, khususnya dari luar negara.

Langkah tersebut adalah sebahagian daripada persiapan negeri itu sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025).

Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata usaha tersebut akan membantu menampung permintaan terhadap penginapan inap desa di negeri itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan melakukan penilaian terhadap tapak cadangan Kluster Inap Desa di Kampung Chin Chin sebelum didaftarkan secara rasmi.

“Kami di pihak homestay sentiasa bersedia memastikan pelancong yang datang ke Malaysia, khususnya Melaka, dapat merasai kehidupan kampung. Jika di bandar, mereka sudah mempunyai infrastruktur yang lebih baik di negara mereka.

“Tetapi pengalaman budaya di kampung itu yang lebih penting. Kami kini mempunyai sembilan kluster homestay, dan dengan tambahan satu lagi, jumlahnya akan menjadi 10. Insya-Allah, kami sentiasa bersedia menerima kehadiran pelancong sempena World Tourism Day ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Riang Ria Hari Raya, di sini.

Menurut Akramuddin, pelbagai pakej menarik akan ditawarkan oleh pemilik inap desa untuk menarik lebih ramai pelancong menginap di kemudahan mereka.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN