Melaka umum cuti khas 1 Ramadan untuk penjawat awam

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh/Foto BERNAMA

AYER KEROH, 19 Januari – Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan cuti khas kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di negeri itu pada 1 Ramadan ini, yang dijangka jatuh pada 19 Februari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuti khas 1 Ramadan diumumkan untuk semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di Melaka, dijangka pada 19 Februari.
  • Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan cuti sebagai penghargaan atas komitmen dan pengorbanan penjawat awam.
  • Pengumuman dibuat semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan.
  • Melaka akan ada enam hari bercuti berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina hingga hujung minggu berikutnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cuti khas berkenaan diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan penjawat awam yang telah melaksanakan pelbagai program kerajaan negeri sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan negeri bersetuju memberikan cuti khas bersempena awal Ramadan sebagai tanda keprihatinan terhadap sumbangan dan pengorbanan penjawat awam dalam merealisasikan pelbagai inisiatif serta program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Menerusi pengumuman itu, Melaka akan mempunyai enam hari cuti umum dan cuti hujung minggu secara berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari, cuti khas 1 Ramadan (19 Februari), Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Februari) serta pada Sabtu dan Ahad (21 dan 22 Februari).