AYER KEROH, 24 Februari- Kerajaan Negeri Melaka menubuhkan Sekretariat World Tourism Melaka (WTM) yang bertindak sebagai badan induk yang akan menyelaras, memantau dan membangunkan sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian negeri itu.
Ia termasuk sambutan sempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang bermula dari 27 hingga 29 September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai program akan diadakan bagi mempromosi kedua- dua sambutan itu yang membawa tema "Tourism & Sustainable Transformation".
"Bagi mengurus dan mengaturcarakan semua program untuk WTD ini. Ia peringkat antarabangsa, kita tak boleh menguruskan program ini seperti kita buat sekarang, ia mesti dirancang lebih awal lagi sebab itu kita mewujudkan Sekretariat World Tourism Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Bulan Februari 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Tambahnya program tersebut dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 159 negara.
Selain itu juga melibatkan 500 peserta sektor swasta Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO).
Dalam pada itu, beliau berkata semua ketua jabatan dan penjawat awam di negeri itu diharap cakna berkaitan penganjuran WTD dan WTC 2025 sekali gus menjadi duta kecil bagi menyokong penuh semua pelaksanaan program serta kempen yang dilaksanakan.
Katanya, semua program yang dilaksanakan sempena sambutan WTD dan WTC 2025 akan dapat menyemarakkan ekonomi negeri selaku tuan rumah sekali gus memacu sektor pelancongan negeri.