
JALAN TAMING SARI, 27 Mac– Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam.
- Cadangan pelaksanaan BDR masih dalam penelitian dan negeri menunggu arahan khusus sebelum melaksanakannya.
- Pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Kerajaan negeri menyokong usaha penjimatan yang turut memberi manfaat kepada kebajikan kakitangan.
- Sektor swasta digalakkan mempertimbangkan kerja fleksibel, termasuk BDR, mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad berkata, cadangan itu bagaimanapun masih dalam penelitian.
Menurut beliau, jika dilaksanakan kelak, pendekatan tersebut akan dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Namun kita masih lagi meneliti dan menunggu arahan selanjutnya. Kita tidak boleh terus melaksanakan sendiri kerana belum menerima arahan khusus.
Walau bagaimanapun, apa sahaja usaha ke arah penjimatan, ditambah dengan keadaan cuaca semasa yang boleh memberi manfaat kepada kebajikan kakitangan, kita sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersiaran dalam program Kokenut Shake Dulu Special Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat 2026 di Konti Melaka FM, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggalakkan sektor swasta mempertimbangkan kaedah kerja fleksibel termasuk BDR mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang meneliti pelaksanaan waktu kerja lebih anjal termasuk BDR bagi penjawat awam.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia susulan krisis di Asia Barat dan akan dilaksanakan secara berperingkat serta terpilih.