fb fb fb fb fb

Melaka sedang kenal pasti bantuan kepada nelayan, penternak kupang

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

AYER KEROH, 28 Ogos - Kerajaan negeri Melaka menerusi Jabatan Perikanan sedang berusaha membantu nelayan dan penternak kupang supaya memulakan semula jualan dwicengkerang selepas larangannya dibatalkan dua minggu lalu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan mereka.

"Kita ada hantar satu kertas kerja kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk kita lihat jenis bantuan yang kita boleh salurkan. Jadi dalam mimggu ini nanti kita akan terima jawapan bagaimana dan apakah jenis bantuan.

"Sebab itu hari ini apabila mereka sudah mula boleh menuai, jadi mereka bukan boleh terus tuai jadi dia mahu mulakan semula. Jadi kita harap mungkin akan ada sedikit bantuan daripada Kerajaan pPersekutuan mahupun Kerajaan Negeri untuk kita lihat dalam usaha meringankan beban mereka, insya-Allah," kata Dr Akmal.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Isitiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena ulang tahun ke 75 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Seri Negeri, di sini.

Pada istiadat itu, Dr Akmal menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Jelasnya, penternak juga perlu mengeluarkan modal besar untuk memulakan kerja menuai benih kupang.

Justeru, bantuan perlu segera diberikan bagi memastikan mereka dapat kembali mencari rezeki selepas kerugian ketika larangan jualan kupang dijalankan sebelum ini.

Dalam pada itu, seramai 299 penerima pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka ke 75 pada sesi pertama pagi tadi.

Istiadat dimulakan dengan acara perbarisan daripada anggota pancaragam yang diketuai Mejar Dom Abdul Azis Abdullah dari Pusat rejimen Renjer Diraja, Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar merupakan penerima pertama pada istiadat kali ini, yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman. 

Bagi Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira adalah seramai 10 penerima dan didahului oleh isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Utama , Zuriyah Abdul Aziz seterusnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Sementara itu, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran datuk menyaksikan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh antara penerima daripada lima orang penerima darjah itu. 

Selain itu, seramai 71 orang penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM), 21 penerima Darjah Seri Melaka (DSM) dan 30 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM). 

Bintang Khidmat Terpuji (BKT) mencatat 38 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 71 diikuti Pingat Bakti Masyarakat (PBM) 48 dan Pingat Khidmat Lama (PKL) dua penerima. 

Istiadat penganugerahan akan berakhir pada sesi ketiga pada Isnin, 26 Ogos.

TETITIA YUSOFF