AYER KEROH, 29 November- Melaka mencatatkan peningkatan kutipan fidyah sebanyak RM2.41 juta pada tahun ini berbanding RM2.39 juta pada tahun lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata faktor itu disumbang oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat selain faktor penglibatan aktif agensi zakat di negeri itu.
Selain itu, agihan daripada kutipan pembayaran fidyah ini telah mencapai RM1.7 juta iaitu 73.24% melalui pelbagai program agihan langsung kepada golongan yang memerlukan.
"Pertama, ia adalah faktor kesedaran masyarakat itu sendiri untuk membayar zakat. Kedua, peningkatan adalah disebabkan agensi zakat Melaka sentiasa mempergiat dan aktif dalam membuat kutipan.
Kita akan melaksanakan beberapa cara kutipan. Penyumbang terbesar setakat ini adalah melalui kutipan pemotongan gaji melalui majikan agensi awam dan swasta. Terdapat banyak peningkatan yang kita perolehi tahun ini," kata Rahmad pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini.
Dalam pada itu, saluran pengagihan dana fidyah juga telah ditambah melalui 14 sekolah SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan lima institut pengajian tinggi (IPT) secara sekali bayar dengan nilai sebanyak RM440,000.