TELOK MAS, 27 Februari- Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM300,000 bagi penubuhan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) khusus untuk kanak-kanak autisme di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Tabika tersebut dijangka beroperasi pada Julai ini di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
"Kita mendapat kelulusan untuk menjadi negeri pertama dalam daerah Alor Gajah mewujudkan Tabika KEMAS untuk anak-anak autisme.
"Melaka akan menjadi perintis program ini dan sekiranya ia berjaya, ia akan dijadikan rujukan untuk pelaksanaan di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Masyarakat Madani KEMAS Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di sini hari ini.