fb fb fb fb fb

Melaka perkenal Pakej Bila Larut Malam bermula Jun

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

BANDA HILIR, 21 April- Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan Pakej Melaka Nightlife atau Pakej Bila Larut Malam bermula 1 Jun depan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, melalui pakej baharu itu, pengunjung berpeluang mendapatkan tiket pada harga RM10.00 di kawasan pelancongan seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka dan muzium-muzium bawah Perbadanan Muzium Melaka.

"Pengunjung dan pelancong yang datang ke melaka bermula pada 1 Jun ini, jadi boleh datang bersama-sama keluarga untuk menikmati pakej serendah RM10.00.

"Saya juga menggalakkan pengusaha kedai makan, pengusaha gerai supaya bersedia untuk menyambut pelancong dalam program ini," katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 di sini.

Tawaran itu hanya diadakan sebulan sekali pada hari Sabtu minggu pertama, setiap bulan bermula pukul 11.00 malam sehingga 3.00 pagi.

Ab Rauf berkata, pakej itu juga merangkumi pembelian Cenderamata Khas TMM 2024 bernilai RM10.00 dan layak menerima kupon cabutan bertuah (TMM2024).

Pakej berkenaan merupakan kesinambungan tawaran istimewa 20 Februari lalu iaitu kemasukkan percuma di 10 lokasi pelancongan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI