fb fb fb fb fb

Adat Perpatih harus diberikan perlindungan - Ab Rauf

(Ab Rauf Yusoh)

AYER KEROH, 14 Jun- Kerajaan Negeri Melaka akan menghidupkan semula Balai Adat Perpatih Naning di Alor Gajah bagi membolehkan balai berkenaan menjadi rujukan kepada pengamal adat terbabit dari seluruh negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, exco berkaitan telah diarah untuk tujuan itu dan proses berkenaan dijangka mengambil masa setahun untuk siap sepenuhnya.
 
"Saya sedang membuat satu kajian menyeluruh supaya Adat Perpatih ini diberikan perlindungan untuk diwarisi kepada generasi akan datang. Melaka ini terbahagi kepada dua budaya di sebelah darat dan pantai, di sebelah darat budayanya Adat Perpatih dan di sebelah pantai, Adat Temenggung.

"Kita semua tahu Adat Perpatih banyak seninya yang diwarisi daripada keluarga sehingga pembentukan adatnya banyak bersendikan ajaran Islam.

"Jadi, saya sudah minta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan) supaya menilai semula dan menghidupkan semula Balai Adat Perpatih yang ada di Alor Gajah," katanya selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Puisi Malaysia anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Auditorium Tun Seti Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di sini.

Beliau berharap penganjuran sambutan Hari Puisi Malaysia yang akan menjelajah ke seluruh negara dapat memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia.

(Ab Rauf Yusoh merasmikan Sambutan Hari Puisi Malaysia anjuran PEMUISI di
Auditorium Tun Seti Lanang, JKKN Melaka di Ayer Keroh)

Media Baharu