MELAKA, 24 Disember- Kerajaan negeri Melaka berdukacita atas kejadian kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara malam tadi.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya menggesa jabatan dan agensi berkaitan kenderaan berat memastikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya oleh pemilik dan pemandu bagi mengelakkan sebarang risiko kejadian tidak diingini.
"Kerajaan negeri Melaka turut berdukacita dengan kemalangan ini. Saya dapat maklumat kemalangan ini berpunca daripada tayar sebuah lori tercabt.
"Saya harap pihak berkuasa mengambil langkah awal untuk memastikan semua kenderaan berat berada dalam keadaan selamat. Tambahan pula sekarang ini musim sekolah dan akan datang Hari Krismas, saya harap semua pengguna jalan raya bertanggungjawab dan menjaga keselamatan masing-masing dan orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu Segmen Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM di sini.
Terdahulu Ab Rauf berkesempatan melawat keluarga mangsa kemalangan di Unit Forensik Hospital Melaka.