AYER KEROH, 23 Oktober- Buat julung kalinya, Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025.
Melaka dipilih mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata sebagai tuan rumah, Melaka telah membuat persediaan bagi memastikan persidangan tersebut berjalan lancar.
"Daripada segi persiapan kita akan bermula daripada sekarang bagi menyambut kehadiran seramai 155 buah negara yang akan berkampung di Melaka selama satu minggu.
"Insya-Allah kita memang bersedia untuk menjadi tuan rumah WTD 2025 ini dan hanya perlu sedikit penambahbaikkan", kata Abdul Razak pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini
Tambahnya, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan buat negeri itu untuk terus bekerja keras tiga tahun ke hadapan bermula Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24), WTD 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, dua penyampai radio MELAKAFm menerima Anugerah Seni dan Budaya Peringkat Negeri Melaka bagi kategori Anugerah Pendukung Seni (APS) Media dan Anugerah Khas Selebriti.
Anugerah tersebut diberikan atas jasa dan sumbangan dalam memartabatkan seni budaya warisan di negeri itu.
Sebanyak 19 anugerah diberikan kepada penggiat seni di Melaka bagi mendorong penghasilan karya yang berkualiti tinggi dan berdaya saing pada masa akan datang.