AYER KEROH, 1 Februari- Melaka bakal membangunkan Projek Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) dengan nilai keseluruhan RM682 juta, sekali gus akan menjadi jeti pesiar terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata MICT juga bakal menjadi satu-satunya pintu masuk untuk kapal persiaran antarabangsa dan feri ke Melaka dan dijangka akan menerima pertambahan sebanyak 15.8 juta pelancong.
"Membawa Melaka ke satu taraf yang lebih tinggi dalam ekonomi pelancongan di bawah salah satu daripadanya dengan adanya terminal ini..
"Seramai 15.8 juta pelancong dengan 5.8 juta adalah pelancong domestik dan 10 juta pelancong asing dijangka memilih terminal berkenaan untuk ke negeri ini menjelang 2036 dan dianggarkan akan berbelanja sekitar RM9 bilion ketika berada di Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) dengan GPH, di Seri Negeri, di sini hari ini.
KAJD diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman manakala GPH pula diwakili Ketua Pegawai Operasi, Stephen Xuereb.
Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Abd Aziz Engan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Saleh serta Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong.
Projek berkenaan juga katanya akan mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan dan dilihat mampu melonjakkan sektor pelancongan kapal persiaran negara.
Projek usahasama antara Melaka International Cruise Terminal (MICT) Sdn Bhd dan Global Ports Holding (GPH) itu dijangka bermula pertengahan tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2026.