MELAKA, 29 Disember - Kerajaan Negeri Melaka akan membangunkan simulasi pemanduan kereta api dan muzium sejarah baharu negeri itu di lokomotif dan gerabak kereta api Banda Hilir.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Zaidi Attan berkata, selain gerabak kereta api persekitaran kawasan itu juga telah dinaik taraf bagi keselesaan pengunjung.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata gerabak itu akan dijadikan galeri sejarah dalam masa terdekat bagi mempamerkan ilmu sejarah gerabak berkenaan.
Manakala pembangunan simulasi akan mengambil masa namun mmberi jaminan akan dapat disiapkan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Kita mahu isikan sebagai muzium lokomotif dalam negeri Melaka dan Malaysia dan juga membangunkan simulator bagi pengalaman pengunjung merasai pemanduan dan naik keretapi itu bukan semua orang pernah naik keretapi dalam negara kita, terutama bagi orang Melaka.
"Jadi kalau ada simulator begini sekurang-kurangnya adalah pengalaman bagi orang Melaka menaiki keretapi dan boleh kita jadikan lokomotif ini sebagai muzium baru dalam negeri Melaka,"Zaidi bercakap dalam Majlis Penyerahan Lokomotif Kelas 21 kepada PERZIM di Banda Hilir.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperuntukkan kira kira RM250,000 bagi kerja-kerja membaik pulih lokomotif dan gerabak kereta api ini sebelum ia dijadikan galeri sejarah.
Kerja-kerja membaik pulih itu termasuklah mengecat kembali gerabak kereta api berkenaan kepada warna asalnya yang berwarna hijau.