AYER KEROH, 5 Mac - Menjelang Ramadan ini, kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan pelbagai program menarik termasuk buka puasa secara besar besaran sebagai kelangsungan subsektor pelancongan agama di negeri itu.
Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran pelbagai program keagamaan akan diatur meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Antara aktiviti utama yang dirancang termasuklah Quran Hour, iftar terbuka serta pertandingan Musabaqah seluruh Sekolah Tahfiz negeri itu.
"Buka puasa terbuka dan selain itu kita ada juga majlis bersahur dan kita akan adakan juga majlis Quran Hour dan kita dalam merangka memperhalusi untuk mengadakan pertandingan Musabaqah untuk seluruh sekolah-sekolah yang berada dalam negeri Melaka," kata Abdul Razak kepada pemberita, di sini.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan menganjurkan bazar Ramadan secara besar besaran di Jalan Hang Tuah.