fb fb fb fb fb

Mekanisme subsidi RON 95 guna MyKad, perincian dibentang menjelang separuh kedua 2025

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Perincian mengenai penggunaan MyKad bagi pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan dibentang di Parlimen, menjelang separuh kedua tahun ini.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mekanisme itu sedang diperhalusi termasuk mengambil kira keberkesanan penggunaan dalam penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Jadi, jika kita bandingkan, kalau kita boleh pakai MyKad untuk 5.4 juta orang, dengan 3,500 kedai yang boleh dipakai, taklah berbeza kalau kita pakai kad jugak untuk RON 95," kata Datuk Seri Amir Hamzah kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL On-Demand di ibu negara.

Tambahnya, penelitian menyeluruh mengenai penggunaan MyKad harus dilakukan untuk pastikan ia benar-benar mampan apabila digunakan secara meluas.

Langkah rasionalisasi RON 95 yang menggunakan sistem harga dua peringkat dengan lebih 85 peratus rakyat akan menikmati harga subsidi.

Di bawah SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar.

Mulai tahun ini, penyaluran SARA melalui MyKad turut diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi pembelian 1,660 bas diesel dan elektrik baharu kepada Prasarana Malaysia Bhd.

Jelas Datuk Seri Amir, peruntukan itu melibatkan pembelian secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Kerajaan katanya, turut memperuntukkan RM55 juta bagi pembelian 320 van, yang dijangka beroperasi di 101 zon menjelang Jun ini.

Inisiatif itu sebahagian daripada komitmen memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam dan menambah baik kehidupan rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM