IPOH, 21 Februari- Seorang mekanik dilepas dan dibebaskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi Ipoh atas dua pertuduhan, mengedar dadah dan memiliki racun empat tahun lepas.
Hakim Datuk Bhupindar Singh a/l Gurcharan Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Raja a/l Sundranbalan, 45 tahun.
Dalam penghakimannya, Datuk Bupinder berkata keputusan itu dibuat setelah mahkamah meneliti fakta kes, eksibit, keterangan Orang Kena Tuduh (OKT) dan saksi pembelaan selain meneliti semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Raja didakwa mengedar dadah berbahaya sejumlah berat 76.68 gram jenis Methamphetamine, merujuk kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, Raja didakwa memiliki racun Nitrazepam seberat 4.14 gram iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 November, pukul 8.00 malam di Taman Falim Mas, Ipoh.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Hafiz Khalid manakala tertuduh diwakili peguam J.Matthews dan Farhan Fadzil.