
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pendekatan pragmatik dan pelaksanaan secara berperingkat dalam menangani kenaikan kos tenaga dilihat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan pekerja terus terpelihara.
- Sokong rasionalisasi bahan api sementara, tetapi perlu ambil kira realiti dan keupayaan setiap sektor.
- Dasar mesti anjal dan bersasar, bukan pendekatan satu saiz untuk semua, untuk lindungi industri berbeza.
- Sokongan khusus kepada PMKS, insentif, geran dan kerjasama kerajaan-swasta penting bagi kelangsungan perniagaan dan pekerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan kos tenaga susulan ketidaktentuan global.
Justeru, langkah rasionalisasi bahan api sementara yang diumumkan kerajaan wajar disokong sebagai satu keperluan strategik namun dasar itu perlu mengambil kira realiti dan keupayaan setiap sektor.
“Pendekatan ‘one size fits all‘ tidak sesuai kerana setiap industri mempunyai cabaran dan kemampuan yang berbeza. Pelaksanaan dasar perlu lebih anjal dan bersasar,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sokongan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amat penting, termasuk melalui penyediaan insentif, geran dan dasar yang jelas bagi membantu perniagaan menyesuaikan operasi tanpa menjejaskan kelangsungan. Pendekatan itu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Langkah ini bukan sahaja membantu perniagaan kekal beroperasi, malah memberi ruang kepada pekerja menikmati persekitaran kerja yang lebih stabil dan seimbang,” ujarnya.
Selain itu, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat menjadi kunci utama memastikan setiap inisiatif memberi impak positif secara menyeluruh.
“Pendekatan kolektif dan inklusif mampu memastikan negara kekal berdaya tahan serta mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks,” tambahnya.
Usaha memperkenalkan dasar yang lebih fleksibel dan responsif dilihat selari dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan tenaga kerja negara.