
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Media mempunyai kuasa mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara dan atas faktor tersebut, rakyat perlu mengenal pasti kesahihan maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan.
- Konflik Asia Barat menerima liputan meluas di pelbagai platform media massa.
- Orang ramai cenderung membentuk persepsi berdasarkan kandungan yang dilihat atau dibaca.
- Kita tidak berada di sana; pastikan maklumat sahih dan dari sumber dipercayai untuk elak ketidaktenteraman awam.
- Kandungan media mempengaruhi cara penilaian dan boleh menimbulkan emosi pembaca atau penonton.
Pensyarah Komunikasi Sosial dan Penganalisis Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Ahmad Saufiyyan Abu Hassan berkata saranan itu berikutan konflik Asia Barat yang mendapat liputan meluas di pelbagai platform media massa.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan orang ramai cenderung membentuk persepsi berdasarkan kandungan yang dilihat atau dibaca.
“Kita tidak berada di sana dan kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Jadi apabila mahu berkongsi maklumat mengenai krisis atau situasi di Asia Barat, pastikan maklumat itu sahih dan datang daripada sumber yang boleh dipercayai supaya mengelak situasi ketidaktenteraman awam,” kata beliau ketika ditemui selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Tambah Dr. Ahmad Saufiyyan, kandungan yang dipaparkan melalui media boleh mempengaruhi cara seseorang menilai sesuatu perkara dan menimbulkan emosi berdasarkan maklumat yang dilihat atau dibaca.