PASIR MAS, 1 Mei- Masyarakat tidak harus leka dan perlu sentiasa patuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan, biarpun kerajaaan telah mengumumkan beberapa kelonggaran terhadap langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa, hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata ingatan berterusan perlu diberikan memandangkan negara masih berada dalam tempoh peralihan ke fasa endemik.
Bagi memastikan keberkesanan penyebaran dan penyampaian maklumat mengenainya, platform media arus perdana termasuk saluran radio serta televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dimanfaatkan sebaiknya.
"Televisyen dan rangkaian radio perlu sentiasa mengingatkan orang awam supaya kita tidak lupa. Teruskan siar di saluran RTM, berita TV BERNAMA, saluran-saluran TV komersial juga harus memainkan peranan untuk sentiasa memperingatkan sebab bahaya tu tetap ada terutama bagi golongan warga emas dan juga mereka yang ada penyakit lain," kata Annuar Musa kepada pemberita RTM ketika meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad, di Kampung Lemal, Pasir Mas.
(MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada bekas
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad di Pasir Mas)
Turut di ziarah, Legenda Bola Sepak Kelantan, Hashim Mustapha yang uzur di Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam melonggarkan SOP selepas melihat situasi yang semakin terkawal terutama bagi membantu memulihkan ekonomi negara.
Justeru itu, masyarakat harus menggunakan peluang kelonggaran yang diberikan untuk menjalankan aktiviti harian pada tahap optimum dengan pembudayaan amalan norma baharu tanpa melupakan bahaya COVID-19 tetap ada dalam persekitaran.