KUALA LUMPUR, 14 Disember- Kira-kira 1,342 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49.
Minggu sebelumnya tiada kematian dengan kes dilapor sebanyak 1,249.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 118,291 kes dengan 111 kematian, berbanding 114,365 kes dan 87 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
Terdapat 32 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME49.
Daripada 32 lokaliti, 18 lokaliti adalah di Selangor, empat lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga di Negeri Sembilan dan Sabah serta masing-masing dua lokaliti di Pulau Pinang dan Perak.
Hujan berterusan dan sampah yang hanyut akibat banjir boleh menyebabkan bilangan bekas takungan air yang menjadi habitat nyamuk Aedes meningkat.
Oleh itu, masyarakat disaran sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan yang proaktif termasuk memastikan semua bekas berpotensi pembiakan segera dihapuskan dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong sejurus selepas banjir surut.