fb fb fb fb fb

MDEC perkenal insentif cukai baharu untuk syarikat berstatus MD dan MSC

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memperkenalkan insentif cukai baharu kepada syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) dan syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz menerusi satu kenyataan memaklumkan insentif cukai itu akan diumumkan Mei ini, bagi inisiatif digital dalam harta intelek (IP) dan bukan IP dan juga dalam bentuk insentif elaun cukai pelaburan.

"Insentif ini akan diumum bersama Kementerian Digital, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya.

Mengenai Inisiatif e-Invois Kebangsaan Program Mangkin Malaysia Digital (PeMangkinMD), beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperkasa semua saiz perniagaan untuk menerima pendigitalan dan menyelaraskan proses kewangan, yang juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Nasional (NMD2030).

Beliau berkata MDEC akan menerajui usaha untuk menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan di negara ini dan komited untuk memajukan Malaysia ke arah menjadi kuasa digital global, memacu inovasi dan meletakkan negara sebagai hab digital pilihan ASEAN.

Selain itu, beliau berkata MDEC bakal menganjurkan Ekspo Digital Malaysia pada Oktober ini yang akan mempamerkan inisiatif dan peluang digital terkini, selain menyertai Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar di Barcelona, November ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE