MCMC tarik balik sekatan akses Grok di X

GAMBAR HIASAN/RTM

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menarik semula sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC menarik balik sekatan sementara ke atas aplikasi Grok di X selepas pengesahan langkah keselamatan tambahan.
  • Mesyuarat pada 21 Januari 2026 antara Kementerian Komunikasi, MCMC dan wakil X membincangkan langkah pencegahan.
  • X mengesahkan pelaksanaan langkah keselamatan yang diperlukan terhadap aplikasi Grok.
  • MCMC akan terus memantau dan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau kegagalan pematuhan.

MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, ia susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan pihak platform berkenaan.

“Pada 21 Januari 2026, satu mesyuarat telah diadakan antara Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X berhubung aplikasi Grok.

“Ia bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia,” katanya.

Menurut MCMC, pihak X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.

“Sehubungan itu, setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang
dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa,” katanya.

MCMC turut menegaskan bahawa keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan.

Katanya, sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.