KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan segera hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh keselamatan data negara melalui pelaksanaan dasar Sovereign AI Cloud.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ia akan dilaksanakan dengan panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Digital dan Jabatan Digital bagi memastikan kawalan dan pengurusan data strategik negara lebih terjamin.
“Sovereign AI Cloud ini mengambil kira beberapa perubahan dalam dasar di negara seperti Amerika Syarikat.
"Di samping itu, untuk menjamin ekosistem keselamatan data yang lebih terjamin termasuk untuk data-data yang maklumat terperingkat berdasarkan akta rahsia rasmi.. jadi ini akan disusuli, arahan telah dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada MCMC untuk laksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan bersempena dengan International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 di sini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Jelas Datuk Fahmi, pelaksanaan Sovereign AI Cloud akan menjadi tonggak penting dalam usaha melindungi data kerajaan serta menjamin kedaulatan dalam pentadbiran digital negara.
Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion kepada MCMC bagi membangunkan kemudahan berkenaan.