PUTRAJAYA, 14 Februari – Beberapa individu yang dipercayai menyebarkan berita palsu berkaitan Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil berkata berita palsu tersebut mendakwa Majlis Raja-Raja telah membuat undian bagi mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“MCMC dan PDRM telah mengenal pasti sejumlah individu yang terlibat menularkan berita palsu ini, yang bersifat 3R. Tindakan akan diambil terhadap mereka serta mana-mana pihak lain yang turut menyebarkan berita palsu yang melibatkan Raja-Raja,” katanya dalam sidang media mingguan di sini.
Fahmi turut menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, tidak hadir dalam mesyuarat tersebut, sekali gus menafikan dakwaan mengenai undian yang dibuat.
Beliau menegaskan sekiranya sebarang undian dijalankan, hanya Raja Pemerintah yang berdaulat berhak untuk mengundi dalam sidang tersebut.
Sebelum ini, tular dakwaan kononnya Majlis Raja-Raja mengundi untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kerana ingkar melaksanakan titah adendum.