fb fb fb fb fb

MCMC padam 31 akaun palsu guna nama NSRC

Foto fail

CYBERJAYA, 4 September -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan serta memadam sebanyak 31 akaun palsu di Facebook yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah menjejaskan fokus dan usaha NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian.

"Maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran agensi penguat kuasa yang sah. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang akaun atau mesej mencurigakan kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), NSRC serta penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun palsu dan maklumat tidak sahih, demi memastikan keselamatan pengguna internet di negara ini.

TETITIA YUSOFF