fb fb fb fb fb

MCMC laksana Kajian Penilaian Ketersediaan 5G untuk Industri Malaysia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 7 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjalankan 'Kajian Penilaian Ketersediaan 5G untuk Industri Malaysia' buat julung kalinya.

Kajian akan dijalankan sehingga 1 Disember ini dengan tujuan menganalisis jurang penerimaan 5G dalam industri yang dikenal pasti di negara ini.

MCMC berkata, kajian itu akan digunakan untuk menilai kesediaan syarikat dalam mengadaptasi teknologi berasaskan 5G.

"Kajian ini juga mengenal pasti cabaran dalam penggunaan 5G dalam kalangan syarikat, serta mendapatkan input untuk inovasi yang lebih baik dan meningkatkan kualiti penyedia perkhidmatan.

"Ketersediaan perkhidmatan 5G yang meluas akan menyokong industri-industri kritikal, terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ini terutamanya dalam aspek inovasi, kecekapan, dan daya saing mereka dalam landskap digital yang pantas berkembang.

"Penyertaan oleh pihak perusahaan adalah penting dalam menyokong inisiatif MCMC dan MIDA untuk memajukan penyebaran
teknologi 5G," katanya.

Syarikat-syarikat dijemput untuk mengambil bahagian dengan mengakses portal kajian melalui pautan ini https://survey.zohopublic.com/zs/PTD3Mj.

GRACE AISYAH KEDAYAN