MCMC kesan lebih 40 akaun Facebook sebar kandungan CIB perkauman

Gambar janaan AI

PUTRAJAYA, 13 Februari – Lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terlibat dalam penyebaran kandungan disyaki berunsur tingkah laku tidak tulen terselaras atau Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB) yang mempunyai elemen perkauman dalam tempoh 24 jam.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC kenal pasti lebih 40 akaun Facebook terlibat sebarkan kandungan CIB berunsur perkauman dalam 24 jam.
  • Hampir 10 akaun TikTok turut dikesan menyebarkan kandungan serupa.
  • Menteri Fahmi Fadzil tegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap cubaan mengapi-apikan sentimen perkauman.
  • MCMC juga jumpa 19 akaun dipercayai palsu, dua disahkan palsu, siasatan berjalan ke atas baki.

Turut dikesan, hampir 10 akaun TikTok yang terlibat dalam penyebaran kandungan serupa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan sebarang percubaan mengapi-apikan sentimen perkauman tidak akan diterima dan pihak berkuasa bersedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam lalu, satu berita yang didakwa melibatkan insiden seorang individu mencederakan tuan tanah telah diviralkan dengan cubaan menyelitkan unsur perkauman.

“Jika diteliti, hampir semua hantaran menggunakan video dan ayat yang sama, sekali gus menunjukkan wujudnya penyelarasan dalam penyebaran kandungan tersebut,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan MCMC mengenal pasti 19 akaun dipercayai palsu yang terlibat dalam aktiviti CIB menerusi penyebaran maklumat dan komen tidak wajar ketika siaran langsung persidangan Parlimen.

Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata hasil siasatan mendapati dua daripada 19 akaun berkenaan telah disahkan sebagai akaun palsu, manakala siasatan masih dijalankan terhadap baki 17 akaun.

Tegas beliau, kerajaan komited memastikan ruang digital negara tidak disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu atau kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.