fb fb fb fb fb

MCMC gesa syarikat telco tingkat kapasiti rangkaian hadapi MTL

Datuk Fahmi Fadzil (kanan) menggunakan handy nemo untuk menguji kualiti liputan selular 4G dan 5G ketika melawat menara telekomunikasi Sapagaya sempena lawatan kerja beliau ke Tawau dan Lahad Datu hari ini / BERNAMA

LAHAD DATU, 6 September - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa syarikat-syarikat telekomunikasi meningkatkan kapasiti rangkaian, khususnya di kawasan berisiko banjir, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Menurut MCMC, langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir, sekali gus mengelakkan gangguan kepada penduduk yang bergantung kepada capaian internet dan talian mudah alih.

“Syarikat telekomunikasi juga digalakkan menyediakan bekalan kuasa alternatif termasuk penjana elektrik mudah alih (genset) dan sistem hibrid tenaga suria seperti yang dipasang di Kampung Sapagaya, kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir,” jelas kenyataan itu.

Tinjauan berkenaan dijalankan sempena lawatan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ke Kampung Sapagaya hari ini. Beliau turut diberi taklimat mengenai mekanisme pengoperasian menara telekomunikasi yang menyediakan liputan kepada masyarakat setempat.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

MCMC memaklumkan tinjauan itu antara lain bertujuan menguji kualiti liputan serta menilai tahap kesiapsiagaan lima penyedia perkhidmatan komunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL, yang beroperasi menggunakan menara telekomunikasi Kampung Sapagaya sejak tahun 2000.

Ujian melalui aplikasi MCMC Nexus menunjukkan menara berkenaan mampu menyediakan capaian kelajuan sehingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, memberi manfaat kepada lebih 3,800 penduduk di kawasan sekitar.

Sehingga 31 Julai lalu, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.3 peratus, meningkat ketara berbanding 73.4 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE