fb fb fb fb fb

MCMC buat laporan Polis terhadap CheguBard, Salim Iskandar dan Papagomo

Foto RTM

CYBERJAYA, 20 April-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam (Jumaat) telah membuat laporan Polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shahrin (CheguBard), Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo).

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan laporan polis tersebut dibuat selepas ketiga-tiga individu berkenaan membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap para pegawainya.

"Laporan polis tersebut dibuat pada 19 April 2024 berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April 2024.

Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain
bersifat penyalahgunaan kuasa", kata kenyataan tersebut.

Jelas MCMC, ada antara individu berkenaan telah memfitnah MCMC dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa, serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.

Tambah kenyataan itu, MCMC menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat oleh individu-individu tersebut dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak Polis bagi siasatan lanjut.

"Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawak Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali", tambah kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD