fb fb fb fb fb

MCMC bekerjasama dengan badan kawal selia pacu teknologi dron

Teo Nie Ching/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 September- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkerjasama rapat dengan badan kawal selia lain seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memacu teknologi dron di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerjasama itu juga bertujuan untuk bersama-sama mewujudkan asas bagi merangsang pembangunan dron yang lebih canggih dan berkeupayaan pada masa depan.

"Industri dron Malaysia mencapai kemajuan besar di pasaran global. Operasi dron amat bergantung kepada akses spektrum radio, oleh itu MCMC memainkan peranan penting dalam mengawal selia penggunaan frekuensi dan mengesahkan peralatan radio komunikasi yang digunakan dalam dron," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pakej Penajaan Untuk Pasukan Perlumbaan Dron Malaysia bagi Kejohanan Perlumbaan Dron Dunia 2024 Federation Aeronautique Internationale (FAI) di sini hari ini.

Tambah beliau sebagai sukan terkini, perlumbaan dron amat memanfaatkan infastruktur digital yang kukuh terutamanya Internet yang stabil dan berkelajuan tinggi.

Teo berkata Malaysia telah mencapai 81.8 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk dan memastikan akses yang meluas, ini bermakna terdapat banyak lokasi di seluruh negara untuk peminat dron berlatih dan menerbangkan dron mereka.

"Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan agar elak daripada menerbangkan dron di kawasan larangan yang boleh mengganggu operasi kritikal atau membahayakan keselamatan," katanya.

Mengulas mengenai kejohanan itu, beliau berkata buat kali pertama pasukan perlumbaan dron Malaysia menyenaraikan seorang atlet wanita dan berharap ia memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan itu untuk tampil bukan sahaja sebagai atlet tetapi juga sebagai ketua sekali gus menggalakkan mereka mengejar impian masing-masing.

"Hari ini merupakan saat yang membanggakan kerana bersama-sama kita menyokong kumpulan atlet yang berbakat dan bersemangat ini untuk bersaing di pentas global. Perlumbaan dron merupakan sukan yang menggabungkan teknologi maju, inovasi dan kemahiran manusia.

"Pasukan kita telah menunjukkan potensi yang luar biasa dan kita yakin mereka akan berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangganya di kejohanan itu," katanya.

Dalam pada itu, Teo berkata berikutan perkembangan pesat sukan dron ketika ini, kerajaan MADANI telah menunjukkan sokongan kuat terhadap kemajuan kedua-dua sukan itu dan teknologi yang berkaitan dengannya.

Beliau berkata antara inisiatif kerajaan yang perlu diberi perhatian ialah penubuhan Futurise, agensi di bawah Kementerian Kewangan yang berkerjasama dengan Persekutuan Penerbangan Sukan Malaysia (MSAF) bagi membantu membangunkan sukan dron.

"Melalui kerjasama ini mereka menubuhkan rangka kerja dan garis panduan kawal selia bagi memastikan keselamatan serta prestasi tertinggi sukan dron. Ini selaras dengan matlamat negara untuk berada di barisan hadapan bagi kemajuan teknologi dan inovasi sukan itu.

"Selain itu, pelancaran Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) yang pertama di Kuantan menandakan pencapaian penting dalam usaha kita untuk menjadikan perlumbaan dron sebagai sukan arus perdana," katanya.

Teo berkata Kementerian Pendidikan turut memupuk minat terhadap teknologi dron dalam kalangan pelajar dengan mengintegrasikannya ke dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aktiviti kokurikulum dengan menggalakkan kemahiran visual dalam kejuruteraan, pengaturcaraan dan teknologi.

Beliau berkata tumpuan kepada pendidikan STEM penting memandangkan kemajuan pesat dalam teknologi itu.

"Tahun ini, 50.83 peratus pelajar mendaftar dalam aliran STEM di sekolah iaitu meningkat berbanding 45.72 peratus pada 2023. Kemajuan ini memberikan harapan kepada masa depan kita dan menjadi contoh jelas bagaimana pendidikan STEM akan membentuk generasi seterusnya.

"Dengan melabur dalam bidang ini, kita sedang meletakkan asas untuk masa depan kerana teknologi dan inovasi akan memacu negara untuk terus ke hadapan," katanya.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI