BAKU, 19 November -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
- MoU ditandatangani semasa WTDC-25 di Baku bagi memperkukuh kerjasama telekomunikasi dan ICT antara Malaysia dan Brazil.
- MCMC diwakili oleh Datuk Zulkarnain Mohd Yasin manakala ANATEL diwakili oleh Presiden Carlos Manuel Baigorri.
- Kerjasama ini memperluas rangkaian hubungan badan kawal selia Malaysia ke rantau Amerika Selatan.
- Pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dijangka membantu meningkatkan kesalinghubungan serantau.
- Inisiatif ini berkait rapat dengan lawatan rasmi Presiden Brazil ke Malaysia bulan Oktober lalu.
Pertukaran MoU tersebut berlangsung sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di sini, disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, manakala ANATEL diwakili Presidennya, Carlos Manuel Baigorri.
Datuk Fahmi berkata, kerjasama itu penting bagi memperkukuh rangkaian hubungan antara badan kawal selia Malaysia dan rantau Amerika Selatan.
“Hubungan ini penting supaya MCMC mempunyai rangkaian badan kawal selia, termasuk di Amerika Selatan.
Pengalaman berbeza, situasi berbeza dan kerencaman yang mereka hadapi boleh membantu kita memahami langkah terbaik untuk meningkatkan kesalinghubungan di rantau kita,” katanya.
Menurut beliau, MoU tersebut juga signifikan susulan Lawatan Negara Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, ke Malaysia pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.