fb fb fb fb fb

MBSP terima 174 aduan kejadian pokok tumbang sejak semalam

FOTO MBSP

SEBERANG PERAI, 18 September- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima sebanyak 174 aduan berkaitan pokok tumbang di sekitar Seberang Perai sepanjang tempoh dua hari bermula semalam berikutan hujan lebat dan angin kencang.

MBSP dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 75 aduan diterima pada 17 September di mana 60 aduan diselesaikan semalam dan baki 15 diselesaikan pada hari ini.

Sehingga pukul 4.24 petang hari ini, MBSP menerima 99 lagi aduan pokok tumbang.

Sebanyak 29 aduan telah diselesaikan dan baki 70 lagi masih dalam tindakan.

Kesemua 28 unit pasukan dan logistik bawah MBSP meliputi Jabatan Landskap, Jabatan Pengurusan Krisis dan Kontraktor Jabatan Landskap telah digerakkan bagi menyelesaikan aduan yang diterima.

Kerja pengalihan dan pembersihan sisa-sisa pokok tumpang ke tapak pelupusan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan kontraktor pembersihan.

Ia melibatkan lapan jentera Depo Pembersihan MBSP bersama-sama 29 Kontraktor Pembersihan MBSP.

Orang ramai yang ingin melaporkan kejadian pokok tumbang boleh menghubungi MBSP menerusi talian bebas tol 1-800-88-6777.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE