KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bangunkan Standard Akreditasi Teknologi dan Teknikal bagi perkukuh program berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, Standard itu bertindak sebagai garis panduan atau rujukan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan program pengajian berkaitan teknologi dan teknikal termasuk AI.
"MBOT juga telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Technology and Technical Professional Development Council atau TPDC, bertujuan untuk membangunkan kerangka jaminan kualiti dan pensijilan kursus jangka pendek yang komprehensif.
"Dengan adanya kerangka ini, latihan yang diberikan kepada pekerja Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh industri tempatan, tetapi juga memenuhi piawaian profesional yang ditetapkan, memastikan kemahiran yang diperoleh bersesuaian dengan keperluan industri global yang sentiasa berubah", katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Parlimen.
Dalam masa sama, MOSTI percaya dengan langkah strategik itu mampu menjadi peneraju dalam pembangunan bakat teknologi AI serta berdaya saing di peringkat global.