MB Johor nafi pembangunan pusat data jejas bekalan air

Isu gangguan bekalan air di Pontian serta Kluang, Johor disebabkan kemarau berpanjangan.

JOHOR, 21 Februari – Isu gangguan bekalan air di Pontian serta Kluang, Johor, bukan berpunca daripada pembangunan pusat data.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan bekalan air di Pontian dan Kluang disebabkan kemarau berpanjangan dan penyusutan sumber air mentah.
  • Tiada projek pusat data di Simpang Renggam atau Benut, menafikan dakwaan berkaitan.
  • Bekalan air berjadual ditamatkan; semua rumah kini mendapat bekalan selepas paras empangan dan LRA pulih.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, isu gangguan air di dua daerah itu disebabkan kemarau berpanjangan dan penyusutan paras sumber air mentah sekali gus menyangkal dakwaan tidak bertanggungjawab dan berunsur politik.

Jelas beliau, tiada projek pusat data di Simpang Renggam atau Benut, seperti dakwaan tersebut.

Pusat data yang berhampiran terletak di kawasan Perindustrian Sedenak, Kulai dan menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Semanggar, yang bukannya dari Empangan Machap, Kluang.

Ketika ini, bekalan air berjadual yang dilaksanakan sejak 7 Februari lalu di Simpang Renggam dan Benut, ditamatkan dan semua rumah mendapat bekalan
air seperti biasa.

Keputusan itu dibuat susulan, perkembangan positif paras air Empangan Machap serta LRA yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan.