JERANTUT, 2 Mac- Mayat seorang remaja orang kurang upaya (OKU) ditemukan timbul di Sungai Siam, Felda Kota Gelanggi 3 di sini pukul 1.22 tengah hari tadi.
Mangsa, Muhammad Amir Mursyid Shamli, 16 tahun mempunyai masalah pembelajaran ditemukan oleh pihak polis pada jarak satu meter dari tebing sungai terbabit.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, polis meminta bantuan pihaknya untuk mengambil mayat remaja terbabit yang timbul di permukaan Sungai Siam dengan kedalaman 0.5 meter, tengah hari tadi.
Sejurus menerima laporan, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut bersama jentera segera ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba bertindak menarik mayat berkenaan menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.