fb fb fb fb fb

Mayat nelayan hilang di Sundar ditemukan di perairan Labuan

FOTO IPD LABUAN

LABUAN, 18 Ogos – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di perairan berhampiran Pantai Tanjung Batu, Labuan, semalam oleh seorang wanita yang sedang mencari landak laut.

Siasatan awal mendapati mayat itu mempunyai kaitan dengan kes orang hilang di Sundar, Lawas, Sarawak, yang dilaporkan pada 14 Ogos lalu.

Mangsa, seorang nelayan, Assan Osman, 65 tahun, dilaporkan hilang ketika keluar mencari hasil laut. Usaha mencari oleh keluarga serta penduduk kampung hanya menemui perahu miliknya yang terapung di perairan Sundar.

Polis Daerah Labuan kemudiannya menghubungi ahli keluarga mangsa untuk proses pengecaman.

Mangsa disahkan oleh anak kandungnya di Jabatan Forensik Hospital Labuan semasa proses bedah siasat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Penguasa Polis (Supt) Mohd Hamizi Halim berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil penuh bedah siasat.

“Sehingga kini, siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut. Kes dianggap selesai kecuali jika hasil bedah siasat menunjukkan sebaliknya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE