MIRI, 23 Januari- Mayat lelaki yang dilaporkan terjun dari Jambatan Lutong, Miri pada 21 Januari 2024 telah ditemukan pada pukul 4.06 petang ketika Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa memasuki hari ketiga hari ini.
Menurut laporan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bahagian Miri, mayat mangsa telah ditemukan tidak jauh dari lokasi mangsa jatuh iaitu dalam anggaran lebih kurang 500 meter dari belakang Tamu Lutong, Miri.
Pencarian hari ini meliputi keluasan dua kilometer persegi Sungai Miri, membabitkan agensi daripada APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Sarawak Coastal Guard.
Bagaimanapun, pengecaman mangsa masih dalam siasatan dan tiada laporan kehilangan ahli keluarga diterima, setakat ini.
Ahad lalu, mangsa yang merupakan warga emas dilaporkan telah terjun dari Jambatan Lutong, Miri sekitar pukul 2.00 petang.