fb fb fb fb fb

Mayat mangsa terakhir bot karam di Kapit ditemukan

Anggota SAR mengangkat mayat Iskandar yang dijumpai terapung oleh orang awam kira-kira pukul 11.30 pagi tadi di kawasan Seputin / Foto RTM

KAPIT, 15 Mac - Mangsa terakhir bot karam di Sungai Baleh, Kapit ditemukan terapung pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Timothy Barat berkata, mayat Konstabel Iskandar Ibrahim, 28 tahun ditemui orang awam di kawasan Seputin kira-kira tujuh kilometer dari lokasi bot tersebut karam.

Timothy ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menerima makluman dari orang awam yang ternampak mayat terapung di kawasan Seputin pada pukul 11:30 pagi.

Hasil pengecaman pada pakaian, mayat disahkan mangsa terakhir insiden bot karam tersebut.

Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada 7 Mac lepas, bot yang dinaiki oleh lima orang termasuk dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit, iaitu Sarjan Jonathan Lambet, 51 tahun dan Konstabel Iskandar Ibrahim karam selepas menempuh pusaran air berdekatan SK Lepong Baleh.

Sebelum ini, tiga mangsa yang telah dijumpai ialah Sarjan Jonathan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD