fb fb fb fb fb

MATA perkenal platform digital, tingkat kecekapan

Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memperkenalkan platform digital kepada ahli-ahlinya dalam usaha meningkatkan kecekapan dan memperluas penawaran produk pelancongan negara hingga ke peringkat global.

Presiden MATA Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun berkata, perkara itu sejajar dengan matlamat untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Supaya apa sahaja yang berkaitan dengan program Tahun Melawat Malaysia 2026 ini adalah satu permulaan jelas dan kepada pengendali di luar negara.

"...untuk melawat Malaysia, mereka boleh menggunakan platform ini secara global. Maka sudah tentu ejen-ejen pelancongan kami memperoleh faedah darinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MATA dan NEXUS DMC di sini.

MOU berkenaan menekankan komitmen bersama untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan pengalaman pelancongan bagi pihak berkepentingan industri dan pelancong.

Dengan integrasi teknologi, kerjasama itu bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta menyelaraskan proses perancangan pelancongan.

Perkara itu juga bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama dalam pasaran pelancongan global.

Dalam pada itu, MATA menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

Mohd Khalid Harun berkata, pengendali perlu mempunyai modal untuk terlibat dalam industri tersebut agar sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.

"Jadi mesti ada modal, jadi apabila kerajaan suruh letak RM250,000 maka sebagai persatuan, MATA menyokong penuh saranan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing untuk mengenakan RM250,000 kepada semua ejen pelancongan," katanya lagi.

Kementerian juga sedang meneliti secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

MOTAC turut memaklumkan dasar yang akan dimuktamadkan kelak itu diharap dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.

Langkah berkenaan susulan berlaku kes penipuan yang semakin kerap selain memastikan perkhidmatan berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI