fb fb fb fb fb

Masyarakat perlu melihat sampah sesuatu yang berharga

(Aktiviti 'trash to cash' pada program Keluarga Malaysia Bersih, Indah dan Sejahtera di Simpang Renggam)

SIMPANG RENGGAM, 5 Mac - Sampah jika diurus dengan baik boleh menjana pendapatan tambahan kepada rakyat dan negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata masyarakat perlu mengubah mentaliti dengan melihat sampah adalah sesuatu yang berharga.

Menurutnya, pengurusan sampah adalah satu peluang industri terutama ketika pandemik COVID-19 yang boleh membantu menjana pendapatan baharu kepada mereka.

"Kalau boleh satu pertiga pengurusan sisa pepejal nanti dapat diuruskan penduduk kawasan berkenaan sendiri. Ini bukan sahaja untuk kesihatan tetapi boleh juga menjana pendapatan melalui sisa-sisa pepejal yang dikeluarkan oleh mereka," katanya kepada RTM.

Beliau sebelum itu menghadiri program Keluarga Malaysia Bersih, Indah dan Sejahtera di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam.

(Ismail pada sidang media di Simpang Renggam)

Ismail juga berkata, kementerian bersama agensi-agensi serta syarikat konsesi komited untuk memastikan pengasingan sisa pepejal diurus dengan baik.

Malah, masyarakat juga semakin sedar mengenai kepentingan mengasingkan sampah terutama sisa yang boleh dikitar semula.

Ia berdasarkan jumlah pengasingan sisa pepejal yang dilihat semakin meningkat tahun demi tahun.

"Kalau kita tengok di Johor, pengasingan sisa pepejal di punca hingga 2020/2021 daripada 1.146 juta kilogram telah meningkat kepada 1.442 juta kilogram pada 2021. Maknanya, usaha kita telah memberikan pulangan kerana dapat menambahkan pengasingan sisa pepejal," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program Keluarga Malaysia Bersih, Indah dan Sejahtera kali ini turut mendapat kerjasama strategik antaranya daripada Majlis Daerah Simpang Renggam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Simpang Renggam, Pejabat Kesihatan Simpang Renggam serta Komuniti setempat.

Antara pengisian program, termasuk aktiviti 'Plogging' iaitu mengutip sampah secara beriadah, 'trash to cash', pengurusan sisa pepejal lestari, demo keselamatan, aktiviti mewarna kanak-kanak dan pelantikan rakan komuniti SWCorp.

Laporan Atikah Makhtar

Media Baharu