Masjid Sri Sendayan terus diangkat sebagai ikon pelancongan Islam

Masjid Sri Sendayan

SENDAYAN, 7 Mac- Masjid Sri Sendayan terus diiktiraf sebagai antara ikon pelancongan Islam di Negeri Sembilan dengan potensi menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan berteraskan nilai Islam.
  • Memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti dan dakwah.
  • Keunikan seni bina dan suasana harmoni menjadikan masjid tarikan pelancong.
  • Promosi pelancongan bersepadu oleh JHEAINS dan LPNS untuk menarik lebih ramai pelawat.

Pengiktirafan itu dijangka memperkenalkan negeri berkenaan sebagai destinasi pelancongan berteraskan nilai Islam, selain memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti dan dakwah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keunikan seni bina serta suasana harmoni di masjid itu menjadikannya lokasi menarik bagi pelancong yang ingin melihat sendiri keindahan dan nilai Islam yang diterapkan di negeri ini.

“Alhamdulillah kerana masjid ini terpilih sebagai ikon pelancongan Islam yang dapat menarik lebih ramai masyarakat luar untuk melihat sendiri.

“Ini peluang baik untuk memperkenalkan Negeri Sembilan dalam konteks pelancongan Islam,” katanya selepas merasmikan Program Berbuka Puasa Perdana 2026 di Masjid Sri Sendayan di sini malam tadi

Beliau menambah usaha mempromosikan masjid sebagai destinasi pelancongan Islam boleh dirancang secara bersepadu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) bagi menarik lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara.