KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Pergerakan tanah masih berlaku di tempat kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati.
Ia hasil penilaian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata, susulan itu, kawasan lereng bukit terbabit akan ditutup dengan kanvas plastik.
Langkah itu bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan mengurangkan pergerakan tanah.
"Hasil dapatan mendapati pergerakan tanah dipercayai berlaku dari sebelah kiri lereng bukit.
"Kanvas 30 meter panjang dan 20 meter lebar akan dipasang hari ini sehingga siap dan kita harapkan dengan pemasangan kanvas ini dapat mengurangkan pergerakan tanah terutamanya dalam keadaan ketika ini masih hujan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan sekiranya cuaca hujan berterusan, hakisan tanah itu akan menjadi lebih besar di kawasan bukit dipercayai milik sebuah syarikat.
Pihak JMG dan JKR akan membuat penilaian sekali lagi esok bagi menentukan sekiranya terdapat sebarang pergerakan di lokasi kejadian.