SEPANG, 15 Oktober – Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan sementara malam ini selepas kedua-dua tren tersebut mengalami masalah bekalan kuasa pada kira-kira pukul 8.30 malam.
- Perkhidmatan Aerotrain Terminal 1 KLIA tergendala malam tadi akibat masalah bekalan kuasa sekitar 8.30 malam.
- Prosedur pemindahan penumpang segera diaktifkan dan pasukan respons lapangan terbang digerakkan.
- Satu tren dipulihkan dan kembali beroperasi pada 9.27 malam; tren kedua masih dalam kerja baik pulih.
- Pengangkutan gantian disediakan untuk memastikan pergerakan antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas.
- KLIA menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca dan menghargai kesabaran penumpang.
Menurut Malaysia Airports, prosedur pemindahan penumpang segera diaktifkan dan pasukan respons lapangan terbang digerakkan bagi membawa penumpang yang terlibat kembali ke terminal dengan selamat.
“Salah sebuah tren berjaya dipulihkan dan kembali beroperasi pada pukul 9.27 malam, manakala kerja-kerja baik pulih ke atas tren kedua masih dijalankan.
“Sebagai langkah alternatif, pengangkutan gantian turut disediakan bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.
Pihak KLIA memaklumkan satu siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, selain turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang proses pemulihan dilaksanakan.