fb fb fb fb fb

Masa untuk PKR maju ke hadapan

Perdana Menteri berucap ketika pertemuan bersama barisan kepimpinan PKR Selangor - Foto FB Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 18 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pemimpin serta ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar melangkah ke hadapan dan kembali bersatu memperkukuh gerak kerja parti.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesej itu disampaikan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dalam sesi ucapan tertutup bersama barisan kepimpinan PKR Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

1807 NSL FAHMI PM SAY MOVE ON 4Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan agar ahli PKR terus maju ke hadapan - Foto FB Anwar Ibrahim

“Beliau menyeru agar semua pihak dalam parti mengetepikan perbezaan lama, khususnya yang timbul semasa pemilihan lepas. Kalau dulu kita dengar pasal ‘kepala lain, ekor lain’, sekarang beliau mahu semua kekuatan disatukan tak kira dari kumpulan yang menang atau tewas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perjumpaan itu.

Menurutnya, Perdana Menteri juga tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimen PKR yang berbeza pandangan dengan beliau dan parti dalam beberapa isu kerana mereka berhak menyuarakan pendapat dalam ruang demokrasi parti.

“Perdana Menteri telah meminta ketua-ketua cabang dan anggota faham perkara ini dan terus mara ke hadapan," katanya.

Selain itu beliau berkata, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri akan dibuat sebelum hujung bulan ini dan mengarahkan jentera parti supaya segera bergerak dan turun ke lapangan menambah kekuatan parti bermula Ogos.

1807 NSL FAHMI PM SAY MOVE ON 1Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kepimpinan PKR - Foto FB Anwar Ibrahim

Datuk Fahmi berkata, Perdana Menteri turut menjelaskan tentang tohmahan dan fitnah berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.

“Segala tohmahan itu tidak berasas. Perdana Menteri menegaskan bahawa semua proses pelantikan mengikut saluran perundangan yang sah. Nama-nama yang dikemukakan adalah hasil saringan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC),” jelasnya.

Terdahulu, sesi pertemuan tertutup pimpinan PKR Selangor bersama Presiden PKR itu berlangsung hampir satu jam, dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti termasuk Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK