TAWAU, 24 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua lelaki dan merampas dua bot berserta barang kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran bernilai hampir RM100,000 di dua lokasi berasingan di perairan Tawau, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata tangkapan ke atas suspek serta rampasan barang itu dilakukan ketika pasukan peronda maritim menjalankan tugasan Ops Tiris dan Ops Pluto Timur.
Menurut beliau, dalam kejadian pertama, sebuah bot kargo dikendalikan lelaki berusia 24 tahun yang di kesan bergerak menuju ke perairan sempadan Malaysia-Indonesia, ditahan di 0.6 batu nautika utara muara Sungai Melayu pada 1.45 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 1,000 kilogram (kg) beras putih, 561 kg minyak masak paket, 325 liter petrol, 48 kg gula pasir dan empat tong gas LPG.
"Sebuah lagi bot kargo dikendalikan lelaki berusia 32 tahun turut ditahan di kedudukan 1.0 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau pada 2.30 petang dan didapati membawa kira-kira 250 liter diesel, kira-kira 200 liter petrol, 72 botol minuman keras pelbagai jenama dan 33 karton rokok tidak bercukai," katanya.
Beliau berkata kedua-dua juragan bot gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen sah berkaitan barang kawalan yang dibawa serta melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Kedua-dua juragan, bot serta muatan tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kastam 1967.