KUALA TERENGGANU, 23 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot dipercayai nelayan asing Vietnam.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan lebih kurang 44.5 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata bot nelayan asing itu ditahan ketika melaksanakan rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di sekitar perairan Terengganu.
Kedua-dua bot ditahan ketika sedang terikat antara satu sama lain, 4.30 petang semalam.
(Bot ditahan pada kedudukan lebih kurang 44.5 batu nautika dari Kuala Terengganu)
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan 12 kru termasuk tekong, warga Vietnam berusia antara 21 hingga 63 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tekong kedua-dua bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.
Kedua-dua bot, 12 kru serta hasil tangkapan seterusnya ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
RM1 juta nilai rampasan termasuk bot dan hasil laut.