fb fb fb fb fb

Maritim Sarawak tahan vesel Indonesia seludup barang kawalan

FOTO MARITIM MALAYSIA

KUCHING, 7 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan sebuah vesel asing dipercayai dari Indonesia disyaki melakukan aktiviti penyeludupan barang kawalan berupa gula dan beras di Perairan Tanjung Datu Sarawak pada sekitar 8.10 malam, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh menerusi satu kenyataan memaklumkan, bertindak atas maklumat risikan, bot ronda Maritim Negeri Sarawak mengesan dan sekali gus menahan vesel itu di kedudukan sekitar 4.2 batu nautika Utara Sematan.

Hasil penggeledahan mendapati bot berkenaan, mendapati sejumlah gula dan beras dipercayai untuk tujuan seludup beserta tiga kru warga Indonesia termasuk tekong dalam lingkungan umur 29 hingga 50 tahun.

Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah lebih RM300,000.

Kesemua kru dan bot berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE