Maritim Pulau Pinang rekod dua tangkapan, komited perketat kawal perairan

Dua tangkapan direkodkan Maritim Pulau Pinang dalam tempoh seminggu

GEORGE TOWN, 9 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang merekodkan dua tangkapan berasingan dalam tempoh seminggu hasil pemantauan dan rondaan berterusan di perairan negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maritim Pulau Pinang merekodkan dua tangkapan berasingan hasil rondaan berterusan di perairan negeri.
  • Sebuah kapal layar dikendalikan dua warga British disyaki bersauh tanpa kebenaran dan diperiksa oleh pihak berkuasa.
  • Sebuah VNT Kelas C dikendalikan tiga warga Thailand ditahan kerana menjalankan aktiviti perikanan melebihi had lesen.
  • Maritim komited memperketat rondaan dan penguatkuasaan untuk keselamatan perairan dan kelestarian sumber marin.

Perkara itu disahkan Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menerusi kenyataan.

“Tangkapan terbaharu dilakukan kira-kira 6.45 petang semalam melibatkan sebuah kapal layar yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang.

“Pemeriksaan mendapati kapal layar berkenaan mengibarkan bendera United Kingdom dan dikendalikan oleh dua warga British berusia 48 dan 67 tahun, dengan salah seorang daripadanya merupakan nakhoda,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kejadian berasingan pada 4 Januari lalu, pihaknya turut menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang dikendalikan oleh tiga warga Thailand berusia antara 41 hingga 58 tahun.

Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan menjalankan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen VNT Kelas C, selain siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas seorang kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Negeri Pulau Pinang komited memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim, khususnya melibatkan aktiviti perikanan, demi keselamatan perairan dan kelestarian sumber marin negara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan