fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia rampas 300 set bubu naga

KUALA KEDAH, 31 Januari- 300 set bubu kambang atau bubu naga berjaya dirampas di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni hingga ke Tanjung Dawai, awal pagi semalam.

Rampasan dibuat menerusi operasi khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah yang dilaksana bersama komuniti nelayan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata, operasi tersebut dilaksanakan berdasarkan aduan awam.

"10 lokasi rampasan bubu naga itu ialah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang kayu yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang," katanya.

(300 bubu naga dikesan di beberapa lokasi sepanjang perairan
Pantai Murni hingga ke Tanjung Dawai)

Tambah beliau, kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Jelas Leftenan Maritim Zool Hilmi, penggunaan bubu naga dilihat semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

"Ia perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib kerana tindakan merampas tidak akan memberi kesan memandangkan ia masih boleh dibeli di pasaran dengan harga murah secara fizikal mahupun secara dalam talian.

Komuniti nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti yang telah diperuntukkan," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram.

Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Media Baharu